Resepi Kentang Putar Homemade Ala KFC

shares

Resepi Kentang Putar Homemade Ala KFC. Lepas Ni Tak Payah Beli Lagi! - “Ayam goreng ala KFC dah reti buat. Maklumlah, dah macam-macam jenis tepung yang dah dijual. Tapi, rasa tak lengkap pula kalau tak makan sekali dengan kentang putar yang ‘special’ tu. Macam mana nak buat ya?”



Salah satu menu istimewa di restoran KFC yang diminati ramai selain ayam goreng dah tentulah kentang putar atau mashed potato. Rasanya yang lazat dan lemak memang membangkitkan selera.

Sebenarnya, tak susah pun nak buat kentang putar ini di rumah. Bahan yang diperlukan pun tak banyak. Jom kita tengok resepi yang dikongsikan oleh Puan Rosdiana Rapiah ini. Nampak sedap betul!

RESEPI KENTANG PUTAR HOMEMADE ALA KFC

BAHAN-BAHAN

Untuk Kentang Lenyek
  • Ubi kentang (5 biji)
  • Susu segar (1 cawan)
  • Serbuk lada sulah

Untuk Kuah
  • 2 cawan air
  • 1 kuib ayam
  • 1 biji bawang besar (dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 4 sudu marjerin
  • 1 cawan tepung gandum
  • Sedikit serbuk lada hitam dan lada sulah

CARA-CARA

A) LANGKAH MEMBUAT KENTANG PUTAR

1. Rebus Kentang

Mula-mula, potong kentang berbentuk dadu dan rebuskan selama lebih kurang 20 minit.

2. Lenyek

Selepas itu, toskan dan lenyek. Gaulkan bersama susu segar dan lada sulah. Kentangnya dah pun siap.

Sekarang, kita akan buat gravy / kuahnya pula.

B) LANGKAH MEMBUAT KUAH

1. Reneh Bahan

Untuk membuat kuah, mula-mula didihkan air dan masukkan kiub ayam bersama bawang besar dan bawang putih yang telah dikisar.

Renehkan selama 10 minit. Tutup api dan toskan air rebusan ini ke dalam sebuah bekas. Ketepikan dulu.

2. Cairkan Marjerin

Seterusnya, cairkan marjerin dan masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Kacau sehingga tepung larut dan tidak berketul.

3. Gaulkan Dengan Air Rebusan

Kemudian, masukkan air rebusan yang telah ditoskan tadi ke dalam campuran marjerin dan tepung. Campurkan sedikit demi sedikit.

4. Tabur Serbuk Lada Hitam

Akhir sekali, taburkan serbuk lada hitam dan lada sulah mengikut kuantiti dan citarasa anda. Siap untuk dihidang!

MUDAH DAN JIMAT

Wah, mudah saja rupanya nak membuat kentang putar ini. Kebanyakan bahan pun dah memang ada di rumah.

Jadi, bolehlah cuba buat sendiri di rumah. Jimat pula tu.

Tak payah susah-susah membeli lagi. Harganya boleh tahan mahal juga walaupun 1 bekas kecil, bukan?

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!

*Resepi asal kentang putar ala KFC ini dikongsikan oleh Puan Rosdiana Rapiah dan ia diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk pertanyaan serta perkongsian lanjut, sila rujuk beliau di SINI.

Related Posts