Resepi Semperit Susu

shares

Resepi Semperit Susu – Resepi Semperit Susu yang gebu dan cair di mulut :) Bagi Che Nom biskut ini adalah biskut yang wajib dihidangkan pada hari perayaan, sebab disamping biskut moden lain, biskut klasik ni ada auranya yang tersendiri. Kanak-kanak pun pasti suka sebab rasa yang manis, berlemak dan rangup. Adunan doh kuih ni agak lembik dan melekat, tetapi jangan tambah tepung terlalu banyak sebab bagi Che Nom biskut ni dah elok sangat rangup dan gebunya. Simpan sekejap di dalam peti ais supaya mudah dimasukkan ke dalam acuan terap.



Masa:

Penyediaan: 30 minit | Memasak: 15 minit | Keseluruhan: 45 minit

Jumlah Hidangan : 70 biji anggaran

Bahan-Bahan:
  • 250 gram mentega
  • 1 cawan susu pekat
  • 500 gram tepung jagung, kalau boleh gunakan jenama Brown and Polson
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • coklat chip, untuk hiasan

Cara Penyediaan:
  1. Lembutkan mentega dengan letakkan pada suhu bilik seketika. Dengan menggunakan mixer ataupun whisk, pukul mentega bersama susu sehingga sebati dan licin. Tak perlu pukul terlalu lama kerana takut biskut menjadi kembang.
  2. Masukkan esen vanilla dan kemudian dikuti tepung sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang lembut.
  3. Rehatkan doh selama 10 minit. Che nom masukkan dalam peti ais untuk rehatkan doh. Keluarkan dan masukan doh ke dalam acuan terap bunga dahlia.
  4. Terap dan hias bersama coklat chip.
  5. Bakar selama 12-15 minit pada suhu 150°C. Angkat dan sejukkan di atas cooling rack. Apabila sejuk sepenuhnya, masukkan ke dalam bekas kedap udara.
Tips:
Hati-hati pada minit ke 10 ke atas kerana kuih mudah hangus. Oven Che Nom cuma mengambil masa 12 minit.

Related Posts